Talian Bantuan KWAP
Kami sedia membantu anda

Hai! Selamat datang ke Talian Bantuan KWAP.

Sila pilih menu di bawah untuk memudahkan

carian anda.


Choose an option...

Kenyataan Akhbar

KWAP Lancarkan Dana Perintis dengan Saiz RM500 Juta untuk Memupuk Inovasi dan Pertumbuhan dalam Ekosistem Teroka dan Syarikat Pemula

Komitmen strategik untuk memperkasa syarikat pemula dalam sektor teknologi, memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi
  • RM250 juta diperuntukan untuk pelaburan modal teroka yang berfokuskan Malaysia
  • RM250 juta diperuntukan untuk pelaburan terus ke syarikat pemula Malaysia yang berpotensi tinggi

 

Kuala Lumpur, 21 September 2023 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini melancarkan Dana Perintis, yang disasarkan untuk memberi sokongan kepada ekosistem modal teroka (VC) Malaysia. Dengan komitmen untuk melabur sehingga RM500 juta dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, KWAP mensasarkan inisiatif pemerkasaan syarikat pemula untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.

 

Dana Perintis yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Mohd Rafizi Ramli di Pejabat KWAP hari ini telah diasaskan berdasarkan dua kategori strategik: pelaburan ke dalam modal teroka yang memfokuskan Malaysia dan pelaburan terus dalam syarikat yang berada di tahap permulaan. Dengan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk setiap kategori, inisiatif KWAP ini disasarkan untuk memacu pertumbuhan dalam landskap keusahawanan selari dengan komitmen kelestarian KWAP sebagai salah satu organisasi yang menyokong Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

“KWAP menyedari potensi untuk berinovasi serta pertumbuhan dalam ekosistem peringkat awal di Malaysia,” kata Encik Hazman Hilmi Sallahuddin, Ketua Pegawai Pelaburan di KWAP. “Kami berbangga untuk memperkenalkan Dana Perintis, sebuah inisiatif yang menyokong komitmen untuk memacu pertumbuhan industri syarikat pemula di Malaysia. Dengan Dana Perintis, kami bukan sahaja menyalurkan modal kewangan, tetapi juga melabur kepakaran, sumber dan komitmen untuk melihat syarikat pemula Malaysia berjaya melangkah ke pentas dunia, terutamanya untuk syarikat yang disokong secara terus.”

 

Sebagai salah satu daripada pelabur terkemuka di Malaysia, KWAP berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam memacu negara ke arah ekosistem peringkat awal yang memberangsangkan. Dengan melabur secara strategik dan menangani jurang kritikal, KWAP menyasarkan untuk menggerakkan trajektori pertumbuhan landskap syarikat pemula, dan memperolehi pulangan risiko terselaras yang menarik kepada pihak berkepentingannya.

 

Sebahagian besar daripada dana sehingga RM250 juta akan disalurkan kepada pelaburan ke dalam dana modal teroka dengan pendedahan berfokuskan kepada Malaysia. Ini selari dengan wawasan KWAP untuk menyokong dan membangunkan ekosistem teroka yang mampu berdiri sendiri. Modal teroka ini akan berfungsi sebagai pemangkin dinamik, memupuk inovasi dalam kalangan syarikat pemula dan memberikan dana yang mencukupi bersama bimbingan yang sewajarnya. Pelaburan strategik KWAP akan merangkumi keseluruhan spektrum perjalanan syarikat pemula – daripada syarikat pemacu kepada syarikat pengurus pertumbuhan. Ini akan menyumbang kepada pematangan keseluruhan ruang modal teroka di Malaysia. Selari dengan pelaburan dana, RM250 juta lagi akan didedikasikan kepada pelaburan terus ke dalam syarikat yang berpotensi di peringkat awal. Ini membuktikan komitmen KWAP dalam memupuk syarikat pemula melalui fasa pertumbuhan dan pengembangan.

 

“Kami berdedikasi untuk memperkasa syarikat pemula dan PKS, menyokong tenaga kerja, dan memupuk inovasi. Dalam mencapai visi ini, KWAP telah mengenalpasti beberapa syarikat pemula berpotensi untuk dilabur, yang kini menggajikan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang,” tambah Hazman Hilmi.

 

Pelancaran Dana Perintis ini selari dengan inisiatif Ekonomi Madani dan mencerminkan fokus KWAP dalam memperkasa pertumbuhan PKS, memacu perkembangan ekonomi serta menyumbang kepada masa hadapan keusahawan di Malaysia.

 

Dalam fasa KWAP melaksanakan inisiatif ini, KWAP akan terus menggalas peranan dan komitmen kepada komuniti pesara yang merupakan pemegang taruh utama kami, untuk merangsang pertumbuhan dana pencen, dan membolehkan KWAP memenuhi amanahnya selari dengan slogannya “Teman Persaraan Anda”.

 

 

– HABIS –

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454).

 

KWAP menguruskan sumbangan daripada Kerajaan persekutuan dan agensi yang berkaitan untuk mendapatkan pulangan optimum atas pelaburanya melalui pengurusan yang baik dan pelaburan dana dalam pasaran ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Dana ini akan digunakan untuk membantu pembiayaan liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan.  Pada tahun 2015, KWAP secara rasminya dilantik sebagai ejen Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan KWAP.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my 

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi 

Amirah Kamarulzaman

Nombor telefon: +603-2174 8000, ext 8669 

Emel: nurulamirah.k@kwap.gov.my 

 

Nazlin Amirudin

Nombor telefon: +603-2174 8000, ext 8679 

Emel: nazlin.a@kwap.gov.my

 

Aishah Mohmad Afandi

Nombor telefon: +6016 446 6747

Emel: aishah.afandi@edelmansmithfield.com

langgan sekarang untuk mendapatkan tinjauan terkini kami!

Laman sesawang ini menggunakan versi terkini terkini Firefox, Chrome dan Safari atau Internet Explorer 10.