Talian Bantuan KWAP
Kami sedia membantu anda

Hai! Selamat datang ke Talian Bantuan KWAP.

Sila pilih menu di bawah untuk memudahkan

carian anda.


Choose an option...

Kenyataan Akhbar

KWAP Menggalakkan Para Pesara Kembali ke Alam Pekerjaan Melalui Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya

Lebih 200 orang pesara berkumpul bagi mencapai kelestarian kewangan dan pengalaman persaraan yang produktif

 

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2019Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], telah menganjurkan satu Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya di Cyberjaya barubaru ini. Pada masa kini, Malaysia sedang menuju ke arah “negara tua” dan selaras dengan perkembangan ini, Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KWAP bagi menggalakkan para pesara untuk kembali sebagai ahli tenaga kerja yang aktif. Berikutan penerbitan Laporan MyAgeing KWAP mengenai kesediaan menempuhi alam persaraan serta peningkatan umur yang produktif tahun lepas, hasil penemuan dari penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa terdapat potensi untuk pesara kerajaan dan bakal pesara untuk dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi negara walaupun setelah meninggalkan alam pekerjaan. Bagi menyahut cabaran itu, KWAP memperkenalkan Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya sebagai satu platform untuk membantu pesara awam dan organisasi dalam meningkatkan peluang untuk kembali bekerja bagi memastikan kelestarian kewangan dan produktiviti pasca pekerjaan.


Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan KWAP untuk menangani jangkaan yang semakin meningkat di kalangan penduduk yang semakin berusia, bengkel ini merupakan susulan kepada pelancaran versi aplikasi MyPesara KWAP yang diperbaharui pada bulan November yang lalu. Melalui pengenalan aplikasi MyPesara dan Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya, KWAP meneruskan dedikasinya dalam mencipta semula pengalaman persaraan melalui penyediaan perkhidmatan platform digital serta bantuan bersemuka dalam kehidupan harian.


“Fenomena global penuaan masyarakat dilihat dapat memberikan manfaat atau sebaliknya sekiranya ia tidak diurus dengan baik. Ia boleh dianggap seakan meraikan hasil usaha kemajuan perubatan negara kita dalam meningkatkan jangka hayat dan pada masa yang sama ia juga memberikan pelbagai cabaran kepada pihak kerajaan dan sektor ekonomi,” kata Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.


“Selaras dengan intipati Bajet 2019 yang mempunyai peruntukkan bagi isu penuaan populasi, kami menggesa para pesara untuk melihat keadaan ini sebagai suatu peluang perniagaan. Melalui nasihat serta perkhidmatan pakar yang disediakan menerusi bengkel ini, para peserta akan diberi peluang untuk menjana kewangan pada masa terluang mereka. Ini sekaligus membolehkan para peserta mencapai kehidupan yang lebih mampan dan produktif dari segi kewangan. Selain itu, ia akan turut memberi peluang kepada organisasi untuk memperolehi tenaga kerja dari sumber yang lebih luas dengan harapan ia akan melibatkan lebih ramai pesara pada masa akan datang.”


Melalui Bajet 2019, kerajaan menyediakan dasar yang memenuhi keperluan warga emas sebagai penyelesaian untuk memudahkan peralihan pesara yang kembali bekerja. Dasar yang diumumkan semasa pembentangan bajet menyatakan bahawa insentif cukai akan diberikan kepada syarikat yang mengambil warga emas sebagai pekerja dengan had gaji sebanyak RM4,000 sebulan. Dasar ini berfungsi sebagai usaha untuk menggalakkan pengambilan pekerja di atas umur 60 tahun yang ingin bekerja dan menghapuskan diskriminasi umur.


“Jangka hayat di Malaysia kini dianggarkan pada usia 75 tahun iaitu purata 15 tahun untuk hidup selepas umur persaraan. Sebahagian besar pesara akan bergantung pada simpanan dan pencen seumur hidup bagi menjalani kehidupan tersebut hingga ke akhir hayat mereka, tetapi ini mungkin tidak mencukupi. Satu platform perlu disediakan bagi membantu mereka dalam mencari bidang dan
pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman yang terdahulu, keupayaan, serta minat mereka. Melalui bengkel ini, kami berpeluang untuk bergabung usaha dan bekerjasama dengan rakan kongsi dan pihak yang terkemuka dalam menyediakan platform tersebut,” kata Syed Hamadah.


Selain dari usahasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), bengkel ini juga mendapat sokongan dari Hire.Seniors, pakar pekerjaan pasca persaraan serta rakan kongsi dari Mydin, MDEC dan perusahaan sosial, BijiBiji Initiative. Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya berjaya mengumpul lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada 134 pesara sektor awam Malaysia, dan 75 bakal pesara. Lebih dari 100 peserta juga telah mendaftar dengan Hire.Seniors selepas bengkel berakhir untuk menerima notifikasi pekerjaan.


“Bengkel ini berfungsi sebagai peluang yang baik untuk orang seperti saya untuk memperoleh pembelajaran mendalam yang akan membantu saya dalam merancang persaraan. Sejurus dengan itu, saya juga percaya bahawa penganjuran bengkel in adalah satu idea yang baik untuk terus memberi manfaat kepada bakal pesara masa depan yang lain,” menurut Tahir Nurudin, 59, bakal pesara dan pensyarah di Insititut Pendidikan Guru, Cheras.


Peserta yang menyertai bengkel tersebut berpeluang meneroka pekerjaan peluang dalam pelbagai bidang dan turut diberikan nasihat serta bimbingan dalam mengarang resume, persediaan menghadapi temuduga dan juga proses permohonan.


Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya turut menekankan komitmen KWAP untuk menyokong dan membantu pesara pada setiap peringkat kehidupan mereka. Karnival Rasa Sayang yang mula diadakan pada tahun lepas telah mengorak langkah dalam mempromosikan kesediaan persaraan dan penuaan aktif di Malaysia. Program tersebut telah berjaya menarik kunjungan hampir 2,000 peserta. Pada masa hadapan, KWAP merancang untuk membawa lebih banyak program bermanfaat seperti Karnival Rasa Sayang dan Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya berikutan sambutan menggalakkan yang diterima.

langgan sekarang untuk mendapatkan tinjauan terkini kami!

Laman sesawang ini menggunakan versi terkini terkini Firefox, Chrome dan Safari atau Internet Explorer 10.